Friday, October 12, 2012

[INFO]: TOMATO PLUM (Plum Tomato)

TOMATO PLUM(Plum Tomato)
Kaya vitamin C

Ia mula diperkenalkan di Eropah kira-kira 400 tahun dahulu sejak dibawa balik dari Peru oleh orang Sepanyol. Bagaimanapun, orang-orang Itali yang mula-mula mengetahui mengenai kepelbagaiannya dalam masakan.
Di Britain, tomato mulanya diperkenalkan sebagai tanaman dalam taman dan tidak begitu popular dalam hidangan Britain sehingga akhir abad ke 19.
Pada mulanya tomato berwarna kuning sehingga ia dinamakan pomo d'oro atau epal emas, oleh orang Itali. Kemudiannya, ia digelar pomme d'amour atau epal cinta. Kini kebanyakan tomato berbeza dari warna kuning hinggalah ke warna merah pekat.
Tomato mempunyai kaitan dengan keluarga kentang dan lada. Ia adalah sejenis buah, walaupun dimasak dan dianggap sebagai sayuran. Tomato plum, yang berasal dari Itali mempunyai bentuk bunjur dan berwarna terang.
Isinya tebal dan mempunyai bau. Bijinya kurang berbanding tomato jenis lain dan amat mudah dimasak.

PANDUAN MEMBELI DAN MENYIMPAN
Tomato plum boleh dibeli di mana-mana pasaraya dan selalunya sudah sedia dibungkus. Selalunya ia datang dalam saiz biasa ataupun lebih kecil. Adakalanya ia tidak dipisahkan daripada tangkainya dan mempunyai lebih bau dan rasa berbanding tomato yang sudah dibuang tangkainya.
Ketika membeli, pastikan ia mengkal dan masak tanpa bahagian-bahagian yang lembut ataupun terdapat tanda-tanda berkulat pada kelopaknya.
Periksa tomato yang datang tanpa tangkai sebelum membelinya. Kulitnya haruslah tegang dan cerah, selain tangkainya masih lagi segar.
Keluarkan tomato daripada bungkusannya selepas membeli dan simpan pada suhu bilik. Jangan menyimpannya dalam peti sejuk kerana ia akan mengubah rasanya.

KHASIAT DAN VITAMIN
Tomato plum mempunyai kandungan kalori yang rendah, iaitu kira-kira 18 dalam 100g tomato. Ia juga mempunyai sebanyak 0.8g protein, kurang 0.5g lemak dan 3g karbohidrat.
Nutrien yang paling penting ialah vitamin C dengan tomato plum yang biasa mengandungi satu pertiga daripada sukatan harian vitamin C yang dicadangkan untuk orang dewasa.
Cara terbaik mengekalkan vitamin ini ialah dengan menyediakan tomato sebelum menghidangkan makanan atau memakannya dalam keadaan mentah. Warnanya yang merah gelap menunjukkan kewujudan vitamin A yang baik untuk penglihatan. Terdapat juga sedikit vitamin B kompleks dan mineral seperti kalium, kalsium dan magnesium.

Sumber: Majalah RASA Edisi 1 (terbitan Karangkraf)

No comments: