Friday, October 12, 2012

[INFO]: AVAKADO(AVOCADO)

AVAKADO(AVOCADO)
Mentega orang miskin



Berasal lebih 2000 tahun lalu di bahagian Tengah dan Selatan Amerika, buah AVOCADO yang mempunyai isi lembut ini adakalanya dipanggil mentega orang miskin (poor man's butter), ataupun mentega dari pokok. Ini adalah terjemahan daripada bahasa Aztec untuk buah berbentuk pear, iaitu ahuacatl. Kini buah yang dianggap mewah ini sudah boleh diperolehi di serata dunia. Kulitnya sama ada berwarna hijau berkilat jenis Ettinger atau Hass yang berwarna gelap. Sangat digemari dalam penyediaan sandwic dan salad, selain turut popular sebagai sos dan sup sejuk.

PANDUAN MEMBELI DAN MENYIMPAN
Terdapat pelbagai jenis avakado dalam pasaran. Avakado jenis Hass lebih sederhana besar dengan warna hijau gelap dan kulitnya agak kasar. Jenis Fuerte pula mempunyai kulit yang lebih licin, saiznya juga lebih besar dan warnanya hijau pucat. Avakado yang paling besar ialah Ettinger yang juga mempunyai kulit licin,hijau pucat dan nipis.
Hass

Fuerte

Ettinger

 Avakado boleh diperolehi sepanjang tahun, dan kebanyakannya diimport daripada Afrika Selatan, negara Mediterranean dan Amerika Syarikat. Avakado yang masak mempunyai isi yang mengkal tetapi agak lembut apabila ditekan. Selalunya, avakado yang dijual di pasaraya sudah sedia untuk dimakan dan tidak boleh disimpan lama. Oleh itu, kita harus memastikan tarikh lupus buah ini. Sekiranya tidak mahu makan avakado sebaik sahaja kita membeli buah berkenaan,pastikan kita menyimpannya dalam kotak salad untuk selama beberapa hari.

KHASIAT DAN VITAMIN
Avakado adalah salah satu daripada buah-buahan yang paling berkhasiat, walaupun ia mempunyai kandungan kalori tinggi iaitu 189 bagi setiap 100g. Terdapat juga 19.3g lemak yang membuatkan ia minyak sayuran tidak tepu. Kandungan lemak ini tidak meningkatkan kandungan kolestrol dalam darah dan dianggap berupaya membantu mengurangkan risiko penyakit jantung. Avakado juga mengandungi asid lemak yang diperlukan untuk memperkuatkan dinding sel.
Isi avakado tidak mengandungi kolestrol tetapi ada sebanyak 2.1g protein bagi setiap 100g dan hanya 1.9g karbohidrat untuk memberikan tenaga.
Vitamin E boleh diperolehi pada kulitnya dan ia juga adalah sejenis antioksida yang mengekalkan keadaan arteri yang baik serta jantung yang sihat. Avakado juga kaya dengan vitamin B6 yang baik untuk sistem saraf, B1, B2 dan niasin selain asid folik. Selain itu, kita juga boleh mendapat bekalan kalium dan fosforus.

Sumber: Majalah RASA Edisi 1(terbitan Karangkraf)

No comments: