Friday, October 12, 2012

[INFO]: LIMAU (Orange)

LIMAU (Orange)
Untuk tulang yang sihat

Ia paling popular di England, sebenarnya berasal dari negara China. Limau dikatakan mula ditanam kira-kira 500 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa dan dibawa ke Eropah oleh pedagang Arab.
Pada awal kedatangannya ke Eropah, limau mempunyai rasa pahit sedikit, seperti limau yang sesuai dibuat 'marmalade'. Hanya 300 tahun kemudiannya, barulah limau manis seperti yang kita nikmati kini, dibawa masuk ke Eropah daripada Sepanyol.

PANDUAN MEMBELI DAN MENYIMPAN
Ketika membeli buah limau, pastikan ia tidak bertompok-tompok dan mengkal- ia harus terasa berat ketika dipegang, menandakan ia kaya dengan jus asli. Elakkan membeli limau yang mempunyai kulit berkedut kerana ia menandakan limau berkenaan sudah tua dan isinya kering. Pastikan tidak ada bahagian kulit yang lembut atau kehitaman.

KHASIAT DAN VITAMIN
Limau segar mengandungi 37 kalori bagi setiap 100g isi limau. Ia juga mempunyai 1.1g protein, 0.1g lemak dan 8.5g karbohidrat bagi jumlah yang sama. Sememangnya limau segar sudah terkenal sebagai sumber vitamin C iaitu sebanyak 54mg bagi setiap 100g. Vitamin ini penting untuk pemulihan dan menjaga gusi dan otot yang sihat. Segelas jus limau segar memberikan kira-kira 60% daripada jumlah vitamin yang disyorkan untuk orang dewasa.
Ia juga mengandungi 1.5g serat bagi setiap 100g isinya, yang tentunya baik untuk sistem penghadaman yang sihat selain kewujudan kalium, kalsium dan magnesium untuk tulang yang sihat.

Sumber: Majalah RASA Edisi 1 (terbitan Karangkraf)

No comments: