Mungkin ramai generasi Sarawak lebih mengenali Peristiwa Bukit Kepong di Semenanjung yang telahpun dipopularkan pensejarahannya samada berbentuk cerpen, drama mahupun filem tetapi pernahkan generasi Sarawak mengetahui bahawa kita di Sarawak juga mempunyai satu peristiwa berdarah yang terjadi suatu ketika dahulu pada zaman Sarawak menjadi negara jajahan Koloni British. Sejarah peristiwa berdarah itu berlaku pada 8 Disember 1962 yang dikenali sebagai Limbang Raid 1962.
Limbang Raid 1962 adalah satu tragedi berdarah yang telah mengorbankan beberapa nyawa anak Sarawak yang bertugas sebagai anggota polis Koloni British dan bagaimana pahlawan-pahlawan yang tidak dikenali ini telah mempertahankan Balai Polis Limbang daripada pemberontak-pemberontak yang diketuai oleh Salleh bin Sambas daripada Tentera Nasional Kalimantan Utara atau lebih dikenali sebagai TNKU. Pada tahun 1962, Kota Limbang hanya mempunyai sebuah balai polis yang bertindak sebagai penjaga keamanan untuk seluruh Limbang pada masa itu. Walaupun pada hakikatnya terdapat banyak ancaman daripada luar namun kerana faktor geografi Sarawak yang besar adalah mustahil untuk memungkin keseluruhan daerah terpencil seperti Limbang mempunyai rangkaian keselamatan yang sempurna dan kerana itulah keseluruhan keselamatan Limbang terletak di bahu anggota polis yang bertugas di Balai Polis Limbang.
Pada jam 2.00 pagi 8 Disember 1962, Balai Polis Limbang telah diserang hendap oleh beratus-beratus pemberontak daripada TNKU yang diketuai oleh Salleh bin Sambas. Pemberontak TNKU ini telah berjaya menyusup masuk secara senyap-senyap tanpa mampu dikesan oleh sentri yang bertugas pada masa itu. Dalam suasana malam yang gelap adalah mustahil untuk mengesan musuh yang datang ditambah lagi ramai anggota polis sedang tidur nyenyak. Tepat jam 2.00 pagi pemberontak TNKU ini telah mengepung Balai Polis Limbang dan berlakulah tembak menembak. Sasaran pemberontak TNKU adalah Pejabat Balai Polis yang menyimpan stor senjata serta berek kediaman anggota polis yang berhampiran serta sebuah rumah Ketua Polis berpangkat Inspektor iaitu Inspektor Latif. Serangan hendap ini telah mengucar-kacirkan semua anggota polis di Balai Polis Limbang kerana kekuatan Balai Polis Limbang sememangnya bukan untuk pertahanan perang tetapi hanyalah sebuah Balai Polis penjaga keamanan untuk penduduk setempat.
Di dalam serangan hendap ini beberapa pemberontak telah berjaya memutuskan dawai rintangan keselamatan dan berjaya memasuki stor simpanan senjata. Di dalam keadaan cemas ini, seorang anggota polis yang bertugas telah berhadapan dengan beberapa pemberontak TNKU. Anggota polis berpangkat Koperal ini adalah Koperal Kim Huat. Dengan semangat juang yang tinggi dia telah bergelut dengan beberapa orang pemberontak TNKU bagi mengelakkan mereka merampas senjata anggota polis yang diletakkan di dalam stor senjata. Namun apalah kudrat seorang anggota polis melawan berpuluh-puluh pemberontak dan akhirnya beliau sendiri terkorban kerana dibelasah teruk oleh pemberontak TNKU pada waktu itu.
Di dalam keributan suasana malam di Balai Polis Limbang itu, seorang anggota polis berpangkat Konstabel iaitu Konstabel Wan Jamaluddin bin Tuanku Alek telah bertindak untuk mengejutkan serta memberi amaran kepada kesemua anggota polis yang tidak bertugas yang sedang tidur nyenyak di berek polis. Setelah melakukan apa yang perlu, Konstabel Wan Jamaluddin kembali semula ke Pejabat Balai Polis dan di dalam perjalanan itu dia telah diserang oleh pemberontak TNKU yang sedang menunggu beliau. Tanpa menyerah kalah walaupun hanya seorang sahaja berhadapan dengan beberapa orang pemberontak TNKU, Konstabel Wan Jamaluddin tetap mempertahankan diri dan bergelut dengan pemberontak ini. Namun dia juga menemui ajal namun begitu berkat keberanian beliau, dikatakan bahawa beliau sempat membunuh 2 pemberontak TNKU seorang diri.
Berkat usaha Konstabel Wan Jamaluddin maka anggota polis yang tidak bertugas telah bangun dari tidur dan di dalam kelam-kabut telah cuba mempertahankan diri daripada tembakan pemberontak TNKU. Seorang anggota polis berpangkat konstabel iaitu Konstabel Essa bin Maratim telah secara diam-diam menyembunyikan dirinya di atas loteng berek polis. Dari situlah beliau menunggu musuh memasuki bilik berek dan apabila kelibat musuh sampai beliau telah menembak musuh dengan senjata yang ada sehinggalah pelurunya habis. Bagi mencari bekalan peluru yang kehabisan, Konstabel Insoll anak Chundang telah cuba untuk mendapatkan bekalan peluru di stor simpanan senjata tetapi malangnya di stor simpanan senjata telah dikawal oleh musuh dan apabila melihat kelibat Konstabel Insoll, beliau juga telah dihujani dengan tembakan daripada musuh maka rebahlah seorang lagi pahlawan ditangan pihak musuh.
Walaupun mempunyai kekuatan anggota yang sedikit, anggota polis Balai Polis Limbang tidak menyerah kalah. Mereka tetap bermati-matian melawan pemberontak-pemberontak yang jumlahnya beratus-ratus orang. Konstabel Bujang bin Mohammed tewas terkena tembakan di pejabat Sarjan. Konstabel Bishop anak Kunjan dengan Konstabel Sangga anak Jampang melihat sendiri kematian Konstabel Bujang bin Mohammed di depan mata namun menyerah kalah tiada di dalam diari mereka. Setelah 2 jam berbalas tembakan hampir keseluruhan Balai Polis Limbang telah dikepung dan dikuasai sepenuhnya oleh pemberontak TNKU.
Dalam pada itu, seorang anggota polis berpangkat konstabel iaitu Konstabel Zaini bin Titun yang bertugas menjaga sebuah bangunan kerajaan yang berdekatan dengan Balai Polis Limbang telah cuba membantu rakan-rakannya yang bertahan di pejabat Sarjan tetapi malangnya beliau kehabisan peluru dan mula bertahan. Kemudian datang pula Konstabel Muling anak Kusan yang bertugas di pos penjara juga turut membantu dan akhirnya berjaya ditangkap oleh pemberontak TNKU. Tepat jam 7 pagi akhirnya anggota polis Balai Polis Limbang barulah menyerah kepada pemberontak-pemberontak TNKU kerana mereka sudah kehabisan peluru dan tiada lagi senjata yang dapat digunakan. Pemberontak TNKU telah menangkap kesemua anggota polis yang masih hidup Senarai anggota polis yang terlibat adalah:
1. Koperal Kim Huat, Berbangsa Cina/Iban dari Kuap, Kuching. - Terkorban
2. Konstabel Wan Jamaluddin bin Tuanku Alek, Berbangsa Melayu dari Kuching. - Terkorban
3. Konstabel Insoll anak Chundang, Berbangsa Iban dari Saribas – Terkorban
4. Konstabel Bujang bin Mohammed, Kuching. Berbangsa Melayu dari Kuching - Terkorban
5. Konstabel Bishop anak Kunjan, Berbangsa Iban dari Undup – Ditangkap
6. Konstable Sangga anak Jampang, Berbangsa Iban dari Lundu - Ditangkap
7. Konstabel Zaini bin Titun, Berbangsa Melanau dari Mukah – Ditangkap
8. Konstable Muling anak Kusan, Berbangsa Iban dari Betong – Ditangkap
Hanya Konstabel Essa bin Maraitim sahaja yang tidak ditangkap secara langsung oleh pemberontak TNKU kerana beliau bersembunyi selama 4 hari tanpa makan dan minum di atas loteng berek tanpa disedari musuh dan akhirnya beliau diselamatkan oleh Pasukan Komando Diraja British yang ditugaskan untuk menggempur pemberontak TNKU dan menyelamatkan tebusan di Balai Polis Limbang pada 12 Disember 1962. Pasukan Komando Diraja British ini juga telah mencari saki-baki pemberontak TNKU yang melarikan diri sehingga ke Brunei dan akhirnya berjaya menangkap Salleh bin Sambas 6 bulan kemudian.
Kesemua anggota Balai Polis Limbang ini adalah antara contoh betapa semangat tidak menyerah kalah dan semangat mempertahankan tanahair daripada serangan musuh wajar menjadi kebanggaan setiap rakyat Sarawak. Semangat mempertahankan apa yang ada adalah tanggungjawab setiap rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa mahupun agama.
Psst:
Cerita ini saya
Copy&Paste saja dari blog lain. Saya pernah membaca sejarah ini dari artikel lain sebelum saya menemui blog yang menyiarkan cerita ini. Niatnya hanya satu, buat bacaan saya dan rakan-rakan agar. Seandainya ada cerita yang kurang betul, boleh komen. Sekadar perkongsian bersama.