Showing posts with label kucing. Show all posts
Showing posts with label kucing. Show all posts

Friday, June 12, 2015

[INFO] “OPERATION CAT DROP”, BARIO, SARAWAK 1960

Psst: Artikel ini adalah 100% penulisan Borneo Oracle di Facebook dan diulang-siar oleh Paw Prints of My Heart, tanpa apa-apa edit. Sekadar perkongsian. Sejarah yang perlu diketahui oleh anak-anak Sarawak.

“OPERATION CAT DROP”, BARIO, SARAWAK 1960 

Sila Like page: Borneo Oracle

Mungkin ramai yang berfikiran sinis apabila melihat kepada teaser yang menjadi penghias artikel daripada Borneo Oracle kali ini. Sudah semestinya ramai yang mengatakan bahawa ini hanya cerita kartun semata-mata kerana mana mungkin seekor binatang seperti kucing menjadi penerjun professional. Teaser itu hanya penghias artikel namun untuk kesekian kalinya Borneo Oracle akan memaparkan satu sejarah yang tidak pernah dilakukan pada mana-mana tempat di dunia ini melainkan sejarah pelik tapi benar ini berlaku di bumi Sarawak iaitu di Bario, Miri, Sarawak. Sejarah ini berkait secara langsung dengan anggota pasukan beruniform di Sarawak sekitar tahun 1960 yang mana ketika itu Sarawak masih lagi menjadi jajahan Koloni British Borneo.

 Sejarah “Operation Cat Drop” ini merupakan satu sejarah yang sudah semestinya tidak diketahui oleh ramai rakyat Sarawak sekarang kerana ianya adalah satu sejarah yang pelik kerana ianya belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemerintah di dunia sehingga sekarang. Ianya dikenali sebagai “Operation Cat Drop” kerana melibatkan sekumpulan kucing-kucing yang dijatuhkan di bumi Bario, Sarawak dengan hanya menggunakan payung terjun dari sebuah pesawat tentera. Operasi pelik tapi benar ini berlaku sekitar tahun 1960 dan ianya dikaitkan secara langsung dengan Angkatan Tentera Udara British dan juga pihak Bomba Kuching.

 Umum mengetahui bahawa Bario merupakan satu-satunya daerah di Sarawak yang terletak di kawasan tanah tinggi iaitu kira-kira 1,150 meter dari aras laut di kawasan timur laut Sarawak. Dengan dikelilingi oleh hutan tebal serta faktor muka bumi yang bergunung-ganang seperti Gunung Murud yang merupakan puncak tertinggi di Sarawak menyebabkan Bario beriklim sejuk sederhana dengan suhunya sekitar 16 hingga 25 darjah Celcius. Kerana lokasinya yang terletak di tanah tinggi maka satu-satunya penghubung ke daerah Bario yang paling cepat adalah dengan menggunakan khidmat pesawat Twin Otter yang boleh diambil dari Miri atau Marudi. Tempoh penerbangan adalah kira-kira 50 minit dari Miri atau 40 minit dari Marudi. Walau bagaimanapun Bario juga boleh dihubungi dengan jalan darat namun begitu jarak perjalanan darat ini adalah jauh dan mengambil masa yang agak lama.

 Sekitar tahun 1959, Bario telah dilanda dengan wabak malaria yang teruk sekali sehingga menyebabkan kematian penduduk-penduduk di Bario. Wabak malaria sudah tentunya satu wabak yang amat digeruni sehingga sekarang kerana amatlah susah untuk menyembuhkannya lebih-lebih lagi pada masa dahulu yang mana Sarawak masih lagi kekurangan di dalam semua aspek. Pihak pemerintah British Borneo yang menjadi pemerintah Sarawak pada masa itu begitu khuatir dengan wabak malaria yang melanda Bario sehingga meminta pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk berganding bahu menyelesai epidermik ini dari terus berlaku.

 Melalui hubungan yang akrab antara Kerajaan Mahkota British dan WHO pada masa itu sekitar Jun 1959 maka pihak WHO telahpun dihantar ke bumi Bario untuk membasmi malaria daripada terus menular. Pada ketika itu, pihak WHO telah menggunakan kaedah semburan racun serangga DDT ke atas semua ceruk rumah panjang masyarakat Kelabit juga bangsal-bangsal tempat menyimpan hasil padi mereka. Semburan racun serangga DDT ini adalah semburan yang paling berkesan di dalam membunuh nyamuk pembawa malaria yang mempunyai parasit Plasmodium Malaria. Hasil daripada tindakan yang segera ini akhirnya epedemik malaria di Bario berjaya dihentikan.

 Namun begitu tanpa diketahui oleh pihak WHO bahawa apabila semburan DDT ini dilakukan maka akan terjadi satu lagi fenomena iaitu selepas semburan itu yang mana ianya hanya kelihatan 6 bulan selepas semburan iaitu partikel-partikel halus semburan itu akan tepu dan mengering di segenap pelusuk tempat-tempat yang disembur. Ini boleh terjadi kerana faktor iklim di Bario yang bercuaca sejuk tidak “mesra alam” dengan penggunaan semburan DDT. Natijahnya setiap serangga dan juga binatang yang tersentuh kepada semburan yang mengering ini akan mati. Diceritakan ketika itu hampir 99% kucing-kucing peliharaan mahupun gelandangan yang berada di Bario menjadi korban kerana semburan yang mengering tersentuh kepada bulu mereka dan sudah menjadi sifat kepada kucing untuk menjilat bulu-bulu mereka. Aktiviti rutin kucing-kucing di Bario ini menjadi satu faktor kepada kepupusan mereka kerana kucing-kucing ini akan sakit beberapa hari dan akhirnya menemui ajal.

 Kematian kucing-kucing di Bario yang di dalam skala besar telah menggusarkan penduduk-penduduk di Bario kerana keberadaan kucing di Bario amat diperlukan memandangkan penduduk-penduduk di Bario bergantung kepada hasil penanaman padi Bario iaitu sejenis padi yang bermutu tinggi dan hanya ada di Bario dari dahulu sehingga sekarang. Dengan adanya kucing-kucing sudah tentu tikus-tikus dan juga makhluk perosak yang lain tidak berani hampir dengan bangsal-bangsal menyimpan padi dan juga rumah-rumah penduduk di Bario. Maka timbullah pula satu lagi masalah di Bario apabila tikus sudah naik junjung dan keberadaan mereka terlalu banyak sehingga menyebabkan laku musnah yang amat merugikan kepada penduduk-penduduk di Bario. Terdapat satu cerita yang dicatitkan di dalam sebuah buku berjudul “Fairland of Sarawak” karangan Alastair Morrison iaitu ada satu ketika seorang penjawat awam pentadbiran Koloni British Borneo yang bertugas di Bario iaitu Malcolm MacSporran yang ketika itu sedang nyenyak tidur di rumahnya tiba-tiba menjerit ketakutan sehingga seluruh bumi Bario bangun dibuatnya. Rupa-rupanya Malcom MacSporran yang sedang lena dibuai mimpi siaga disebabkan tikus-tikus telah menjadikan bantal tidurnya sebagai sarang untuk pembiakan.

 Bertitiktolak daripada ini, Malcom MacSporran sendiri yang memanjangkan peristiwa tikus-tikus bermaharajalela ini kepada pemerintah Koloni British Borneo di ibukota Kuching, Sarawak. Bertindak daripada laporan ini, pihak pemerintah Koloni British Borneo di Kuching telah mengarahkan pihak Bomba Kuching pada ketika itu untuk mengumpulkan sejumlah kucing-kucing untuk dihantar ke bumi Bario. Inilah sahaja cara penyelesaiannya daripada membiarkan penduduk Bario dan hasil tanaman mereka hancur musnah. Setelah kerja-kerja pengumpulan kucing-kucing dilakukan oleh pihak Bomba Kuching maka kucing-kucing ini diserahkan kepada unit Tentera Udara British yang dijadualkan untuk menerbangkan kucing-kucing tersebut ke bumi Bario.

 Setelah segalanya menurut prosedur akhirnya pada tanggal 17hb Mac 1960 satu operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operation Cat Drop telah dijalankan di bumi Bario. Menurut jadual asalnya seharusnya 25 ekor kucing yang diletakkan di dalam bakul rotan yang besar ini dihantar ke Bario dengan menggunakan pengangkutan udara tentera namun begitu ketika penerbangan itu cuaca amat buruk sekali sehingga tiada cara bagi pesawat untuk mendarat di bumi Bario. Akhirnya penerbangan itu beralih ke Jesselton, North Borneo untuk mengisi minyak kerana cuaca amat buruk sekali. Dijadikan cerita di sepanjang perjalanan itu, anggota tentera udara yang bertugas di dalam pesawat ada yang calar-balar dicakar oleh kucing-kucing yang ketakutan dan itulah antara penyebab mereka harus ke Jesselton untuk mendapatkan rawatan.

 Sekali lagi pada keesokan harinya, pesawat tentera udara British telah cuba untuk mendarat ke bumi Bario namun sekali lagi cuaca juga menjadi rintangan bagi mereka. Akhirnya pihak pentadbiran British Borneo memberi arahan kepada pesawat tentera ini untuk mengikat bakul berisi 25 ekor kucing pada payung terjun dan kemudian dijatuhkan di bumi Bario pada hari itu. Patuh pada arahan akhirnya Operation Cat Drop berjaya dilakukan maka jadilah 25 ekor kucing ini antara penerjun payung terjun professional di bumi Sarawak. Tidaklah diketahui berapa banyak kucing yang hidup di dalam operasi itu namun begitu keberadaan kucing-kucing “hadiah” daripada rakyat Kuching, Sarawak ini adalah antara penyelamat daripada tanaman padi di bumi Bario daripada hancur musnah. Dan dikatakan bahawa kucing-kucing yang berada di Bario sekarang adalah baka-baka daripada 25 ekor kucing yang dijatuhkan di bumi Bario suatu waktu dahulu.

 Inilah sekelumit cerita sejarah pelik tapi benar yang pernah berlaku di bumi Sarawak iaitu di Bario suatu waktu dahulu. Peristiwanya seakan-akan lucu tetapi di dalam kelucuan ianya adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawa dan ekonomi bangsa Sarawak pada waktu itu. Operation Cat Drop, Bario 1960 kekal sebagai satu sejarah yang unik kerana sehingga sekarang tiada lagi operasi bersejarah yang sebegitu rupa pernah di lakukan di dunia ini. Ianya hanya terjadi di Sarawak Bumi Kenyalang suatu waktu dahulu.

#KamekSayangSarawakBah!

Sunday, April 17, 2011

Kucing Oh Kucing... Arnab??

mengingatkan aku akan kucing aku dulu.
Kucing sekarang dah tak macam dulu lagi... Masa aku masih jadi budak skolah, kami da membela seekor kucing(wah..skema btul ayat aku ni). Tak ingat lagi nama kucing tu. Tapi kucing aku tu lain dari kucing sebelum-sebelum ni... 
 
Bapak aku pulak suka memancing(biasalah seorang pelaut, hobi sampingan masa sengga ialah memancing). Stail memancing pun lain sikit, sebab tak nampak pun kayu pancing atau jala bapak aku ni. Yang ada, banyak gulungan tali tangsi dalam beg. Tu je.... Tapi hasil dia, marvellous... Sebulan tak risau nak turun pasar ikan nak dapatkan sumber protein tu.. Cuma yang merisaukan, tempat nak menyimpan ikan-ikan tu... Peti sejuk pulak kecik... Pandai-pandailah nak buat macamana ikan-ikan tu..

Kalau bapak aku balik umah dan bawa hasil pancingan dia, kami sekeluarga akan berkumpul tengok hasil-hasilnya. Termasuklah kucing aku ni. Bagi kucing, tengok ikan-ikan segar bak emas depan mata... Tapi, lain pulak halnya dengan kucing aku ni. Bapak aku bagilah sekor ikan kat dia... Korang tau, apa reaksi kucing aku ni? Macam lelaki gay yang tengok perempuan seksi depan mata, dan mata si gay hanya berkelip-kelip... Maksudnya kucing aku ni takder perasaan tengok ikan masih segar... Pas tu, boleh lagi kucing ni menghidu-hidu ikan tu, dan selamba derk jer berdiri kat tepi aku. Pas tu, bapak aku balinglah ikan tu(baling manja-manja je, taklah sampai baling menghalau kucing ni), terlompat kucing ni bila ikan tu kat kaki dia akibat terkejut. Then apalagi, dia goreng-gorenglah ikan tu ngan kakinya(macam kucing main-main ngan benda). Dan stop macam tu je. Lunyai jer ikan tu, tapi langsung tak dimakan pun... Huhhh... Kucing... Kucing.... Kekadang ikan-ikan segar ni, arwah mak aku main letak jer kat atas lantai bila nak tunggu menyiang.. Selamat.. Sebab kucing aku ni dia duduk aje kat tepi pintu sambil tengok arwah mak buat keja ikan ni. Kira jadi bodyguardlah, mem'protect' ikan-ikan kat besen dari kucing-kucing terbiar datang mencuri.

Hari tu, bapak aku tertangkap lobster. Besar gaklah. sekor jer... Merasa juga makan lobster sekali dalam seumur hidup ni. Yelah kan mahal lobster sekilo... Bila bapak aku bawak balik lobster tu, kucing aku ni, terkejut ngan makhluk tu(lobster), sampai kucing aku ni lari lintang-pukang. Gara-gara bapak aku mengejutkan kucing aku ni ngan lobster tu. Jenuh gaklah memujuk kucing aku(yelah mencari dan memujuk) balik rumah. 

Bila ingat balik, nak gelak pun ada. Kucing kan sinonim ngan ikan. Tapi kucing-kucing belaan kami, memang baiklah... Yang tak bestnya, aku kena masakkan ikan-ikan ni dulu untuk santapan kucing-kucing kami. Kalau tak masak atas api, takkan kucing-kucing ni nak menyentuhnya. Masak pun rebus je, letak garam sikit(kenalah letak, sebab pernah rebus kosong, kucing-kucing kami tak lalu nak makan)..Haa, amik kau... Nak kena masak baru makan. Kucing dah pandai demand pasal makanannya.... Ikan pun kena masak terlebih dahulu....

Kucing kami gemar tangkap tikus tapi takkan makan tikus yang mereka tangkap. Tak tau pulak pasal apa. Tapi kalau makan pun, kucing kami ni hanya makan kepala tikus tu je, badan tikus dia akan letak kat depan pintu, souvenir untuk tuannya(yucksss....). Kalau dah macam tu, memang akan masuk bilik airlah alamatnya kucing aku ni. sebab tak nak ada bau tikus kat mulut dia....

Tapi tu semua hanya tinggal kenangan.... Rindulah nak ada kucing lagi.... Skang ni dah meroyan nak ada pet.... Asyik-asyik tanya member, mana lagi bagus, kucing atau arnab..... Teringin gak nak bela iguana... Pada sapa-sapa pernah bela, tak pun ada member bela haiwan tu, share-share lah tips untuk membela iguana.. Tak pun arnab... Aku nak pet gak.... Hehehehee... 

alaaa..tomei...makhluk Tuhan paling comel...miawwww

ntah nape tergerak hatiku hendak membela haiwan ni.....comei..comei..comei....
Psst..
>Tak jadi terus aku nak bela iguana, bila aku Google gambo haiwan ni...Makin besar makin geli aku tengok.... Dahlah penggeli cicak... Tak dapat aku bayangkan memegang haiwan tu...